Epikride by Epikrazeist| Memikul Basikal di Gunung Berembun, CH

Tol Bukit Subang, RM1.40. Tol Batu Tiga, RM1.10. Tol Simpang Pulai dari Tol Subang Jaya, RM24.80. Senyuman awek tol, priceless.

Segala-galanya berjalan dengan lancar pada malam 1 Feb 2013. Unser Rally Dakkar seperti biasa diberi kepercayaan untuk mengemudi trip selepas Kelisa Drift tidak mampu menampung beban muatan. Tiga biji basikal, Yakuza Kumicho, GTS M7 dan Morewood Zuza ditempatkan di dalam Unser Rally Dakkar bersama-sama peralatan lain seperti headlamp, pisau, parang, ration, tools, fly, ground, steering kereta dan saudara john.

kelisa

Pemanduan dimulakan oleh Mimi dari Shah Alam ke Tapah sebelum John dipaksa untuk memandu dari Tapah ke Simpang Pulai. Dakwaan John yang mengatakan bahawa dia tidak boleh memandu kereta manual ternyata merupakan satu penipuan terbesar dalam sejarah hidup Nije. Pemanduan secara drift melalui Simpang Pulai ke Brinchang dilakukan oleh pemandu drift berpengalamana, gua.

Segala-galanya berjalan lancar. Malahan kabus juga tidak kelihatan sepanjang perjalanan mendaki Cameron Highland. Kami tiba di pekan Brinchang pada pukul 6.30 pagi. Kelihatan beberapa buah bas membawa pelancong tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada wanita pertengahan abad diparkir di sekitar Petronas Brinchang. Walaupun suhu luar biasa sejuk, namun kewajipan agama tidak dilupakan.

Segala-galanya berjalan lancar. Sekurang-kurangnya sehingga kami menuju ke Food Court Brinchang untuk bersarapan pagi. Imej seorang pelayan kedai bersaiz XL memakai legging pink nipis sehingga menampakkan seluar dalam putih beliau betul-betul menekan perasaan gua. Kelihatan beberapa ekor kucing berlari-lari di belakang pelayan tersebut sebelum tiba-tiba terjatuh dan tidak bergerak. Gua amat terkejut dengan kejadian tersebut dan cuba menepis perasaan berat tersebut dengan menjeling awek bertudung hitam bershawl corak animal printed. Sekali-sekala gua beristighfar untuk menenangkan perasaan. Sempat juga gua berseloroh untuk menyembunyikan perasaan gua.

Selesai makan, kami bergerak meninggalkan imej perempuan XL berlegging pink nipis menuju ke Tanah Rata dengan perasaan lega. Unser Rally Dakkar diparkir di hadapan sekolah yang gua tak ingat nama di sebelah MARDI. Kami melelapkan mata selama sejam selepas membaca ayat Kursi sebanyak 7 kali. Besar harapan kami agar imej pelayan kedai tadi tidak mengganggu tidur kami. Mimpi semacam ini boleh menyebabkan trip dibatalkan. Simpang malaikat 44.

Alhamdulillah, semua orang dapat tidur dengan nyenyak sebelum dikejutkan oleh sinaran matahari pagi kira-kira pada jam 10 pagi. Kami bingkas bangun untuk bersiap-siap.

Ternyata awek XL berlegging pink nipis tadi adalah petanda buruk. Yakuza Kumicho mengalami masalah teknikal. Brek depan tidak dapat berfungsi kerana kehabisan minyak hidraulik. Brek belakang pula terlalu ketat mungkin kerana tekanan yang terlalu kuat di dalam hos. Kemuncaknya, sistem penukaran gear belakang (RD) tidak dapat berfungsi langsung. Pada ketika ini tiada apa-apa yang mampu gua buat selain dari membayangkan tilam, bantal dan laptop yang gua tinggalkan di rumah. Sempat juga gua memandang mimi sambil membayangkan di tangan gua ada sebilah parang.

unser

Namun, perjalanan diteruskan. Kami mengayuh masuk ke kawasan MARDI dan menuju ke rumah kuarters MARDI yang baru siap dibina. Sekali lagi gua dikejutkan gua dengan keputusan Mimi dan John untuk menggunakan trek no. 7 menuju ke puncak Berembun.

“Kau memang plan nak naik ikut trek no. 7 ni?” gua bertanya.

krikkkk..krikkk…krikkk… Cengkerik menjawap. Gua dengan cengkerik memang dah berkawan lama. Sejak dari bangku sekolah lagi.

Trek no. 7 ni dia punya celaka memang tahap neraka. 700m pertama (jarak lurus) berkecuraman lebih kurang 60 Degree dan dipenuhi dengan resam dan semak-samun. Satu-satunya laluan yang ada adalah laluan air atau dipanggil charoh.

trek 7

Gua syak Mimi dan John adalah agen illuminati. Entah macam mana gua ikut idea main (tolak) basikal di Gunung Berembun ni. Halus betul perancangan diorang.

Tolak basikal melepasi resam pada kecuraman 60 Degree tanpa menggunakan brek memang memakan tenaga mental dan fizikal gua. Kadang-kadang gua tengok Mimi dan John berubah menjadi semut. Kadang-kadang jadi ulat gonggok. Nasib baik gua istighfar banyak-banyak. Kalau tak, memang gua pijak-pijak.

Perjalanan diteruskan dengan penuh kepayahan. Kadang-kadang kena pikul basikal. Kadang-kadang kena lempar basikal. Kadang-kadang kena angkat berdua. Kadang-kadang bertiga. Sempat juga gua berfikir untuk melempar basikal masuk ke dalam gaung. Tapi gua hormat kepada tuan punya basikal. Kalau tidak, memang gua bawak balik thru axle je bagi ke Nije. Lepas tu gua cakap basikal dia kena sumpit dengan orang asli. Dia bukan tahu pun gua kencing dia.

pikul
pikul3
pikul4

Dengan semangat yang semakin nipis, kami semua cuba menyanyi untuk mengembalikan motivasi diri. Namun hanya perkataan babi, celaka dan naharrom yang keluar dari mulut masing-masing.

630m (jarak lurus) merupakan trek yang paling jahanam sekali. Kecuraman sekitar 70 Degree dan dihias indah dengan akar-akar sebesar anak kambing jantan. Kadang-kadang tebing setinggi paras dada muncul entah dari mana. Gua syak ini permainan jin. Gua tenang menolak basikal sambil memaki hamun dalam hati.

Akhirnya setelah 5 jam 30 minit kami pun sampai di Puncak Berembun.

“Alhamdulillah. Akhirnya kita boleh cakap kat orang yang kita pernah buat benda ni. Walaupun macam bodoh, tapi kita dah buat” ujar John.

puncak

Sekarang lu faham kan kenapa gua masukkan nama John dalam senarai peralatan dalam perenggan kedua tadi?

Jam menunjukkan jam 6.00 petang. Flysheet dipasang dan makanan disediakan. Tanggungjawap memasak diserahkan sepenuhnya kepada John.

menu makan malam

Sambil makan, kami berbincang tentang masalah sejagat, masa depan SRC. Walaupun hal ini telah dibincangkan lebih daripada 500 kali, namun masih tiada kesimpulan yang dapat dibuat. Gua yang sudah fed up menarik sleeping bag liner gua yang mampu menahan suhu sehingga -23 Degree Celcius dan cuba untuk tidur.

John cuba menghalang gua daripada tidur dengan menceritakan tentang kisah hidup beliau. Tidak sampai 5 minit, kami semua termasuk John akhirnya tertidur.

Tidur gua yang nyenyak kadang-kala diganggu oleh hembusan angin yang kencang. Selalu juga diganggu oleh hembusan suara yang kencang. Kesimpulannya, tidur gua pada malam tu memang serupa cilake.

Selesai bersarapan, kami berkemas dan bersiap sedia untuk turun. Hujan renyai-renyai. 20m pertama keadaan trek boleh dikatakan rideable. Dengan kecuraman sekitar 3 degree, kami semua mengayuh basikal sambil bersiul kecil.

Pada jarak 20.1 meter dari tapak campsite, mimpi ngeri kembali semula. Tebing curam dan akar menghiasi trek.

turun
turun3

Setelah kira-kira 45 minit menolak dan melempar basikal, akhirnya trek yang rideable dijumpai. Namun begitu, ia hanya rideable lebih kurang 2 saat sebelum dihalang oleh balak tumbang dan akar banir. Rutin ride dan tolak diulang-ulang sehingga kami menemui sebuah pondok PLR.

Setelah berehat beberapa minit dan meneguk beberapa teguk air, kami meneruskan perjalanan dalam hujan yang renyai-renyai. Sama seperti tadi, trek hanya rideable selama 2 saat sebelum dihalang akar banir. Terdapat juga cubaan untuk melepasi akar-akar tersebut dengan menggunakan teknik bunny hop. Namun skill yang umpama kail panjang sejengkal menghalang kami melakukan bunny hop.

Kami akhirnya sampai semula ke MARDI dengan selamat dan merasa begitu bangga sekali kepada bangla-bangla yang sedang bekerja di ladang MARDI tersebut.

p/s: Team main basikal tak tentu hala ni menggelarkan diri mereka sebagai Epikrazeist. Kalau ada kedai basikal yang rasa jamboree is too mainstream, silalah sponsor team ni. Pergi je kat page dan PM admin page tu. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s