Necrotizing Fasciitis (Jangkitan Pemakan Daging)

Kulit macam kena siram air panas. Merah dan menggelupas. Ini mungkin tanda-tanda anda dijangkiti Necrotizing Fasciitis. Jangkitan yang boleh membunuh nyawa anda sebagai pendaki.

kelvin

Kecederaan yang dialami oleh rakan pendaki di Gunung Tahan. (Ihsan Mr. Kelvin Chan)

Jangkitan yang boleh mengundang maut ini dipanggil Necrotizing Fasciitis (Neck-ro-tie-zing Fas-e-i-tis). Necrotizing Fasciitis adalah jangkitan bakteria pada kulit dan membunuh tisu lembut. Juga dikenali sebagai “jangkitan pemakan daging”, jangkitan ini disebabkan oleh bakteria seperti Streptococcus, Klebsiella, Clostrodium, E. coli, Staphylococcus aureus dan Aeromonas hydrophila.

Bakteria ini akan menyerang membran fascia yang mengelilingi otot, saraf dan pembuluh darah. Jangkitan ini juga akan merosakkan tisu-tisu yang berdekatan. Toksin yang dihasilkan bakteria ini akan membunuh tisu tersebut dan boleh menyebabkan kehilangan anggota dan kematian.

fascia-diagram

 

Punca
Bakteria yang menyebabkan jangkitan ini biasanya terdapat dalam air yang tidak bersih. Ia akan memasuki tubuh melalui luka kecil, gigitan serangga dan lepuhan (melecet).

Penjagaan luka yang tidak sempurna memudahkan lagi bakteria ini menyerang tubuh badan. Orang yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah seperti pesakit diabetes dan pesakit buah pinggang mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti bakteria ini.

Simptom
Simptom jangkitan ini biasanya boleh dilihat dalam masa 24 jam. Perhatikan tanda-tanda ini pada diri anda atau rakan pendaki anda:

> Kesakitan yang melampau pada luka
> Kawasan sekitar luka menjadi kemerahan
> Gejala-gejala demam seperti cirit birit, mual, pening kepala dan lemah tubuh badan
> Dahaga yang melampau

Tanpa rawatan yang betul, pesakit akan mula mengalami gejala yang lebih parah:

> Bengkak di sekitar kawasan luka
> Kawasan luka berubah menjadi warna ungu dan dipenuhi dengan gelembung yang mengandungi cecair yang berbau busuk.
> Kulit menggelupas akibat gangren

Rawatan
Semasa mendaki, luka-luka adalah perkara biasa. Namun, luka yang tidak dijaga dengan betul boleh menyebabkan jangkitan Necrotizing Fasciitis yang serius.

Jangan melambat-lambatkan rawatan awal (first aid) sekiranya anda atau rakan pendaki anda mengalami luka-luka. Pastikan luka anda dicuci dan dibalut dengan kapas yang bersih setiap hari. Elakkan kawasan luka daripada terkena air sungai ataupun tasik.

Sekiranya jangkitan melarat sehingga timbul gejala-gejala yang lebih parah, keluar daripada hutan dan dapatkan rawatan di hospital dengan segera. Bergantung kepada tahap jangkitan, hospital akan melakukan rawatan berikut;

> Memberikan antibiotik secara IV
> Pembedahan untuk membuang tisu yang mati dan mengelakkan jangkitan tersebar ke kawasan lain
> Memotong anggota badan yang terlibat

Adalah penting untuk anda memerhatikan gejala-gejala awal jangkitan ini kerana dengan rawatan awal jangkitan ini boleh dicegah. Sekiranya perlu, batalkan ekspedisi kerana keselamatan dan nyawa adalah lebih penting daripada puncak.

Ilmu first aid sepatutnya dikuasai dan semua pendaki sepatutnya mempunyai satu set First Aid Kit di dalam haversack.

sumber:
http://www.cdc.gov/features/necrotizingfasciitis/
http://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/necrotizing-fasciitis-flesh-eating-bacteria

Advertisements